Saturday, 20 December 2014

Panggilan Misteri 12 Malam

"Truttt... truttt... truttt..." 
Saya mengalihkan pandangan ke arah telefon bimbit yang berbunyi di meja. Hairan, siapa pula yang menelefon waktu lewat malam begini. Saya capai telefon bimbit tersebut dan mengerling ke arah jam di ding. Sudah hampir jam 12.00 tengah malam. 

"Assalamualaikum... ini Encik Kassim ke?" sayup-sayup kedengaran suara seorang lelaki di hujung talian. "Ya, saya.. Kassim yang bercakap ni. Siapa tu ya? jawab saya penuh keraguan. 
"Saya dari Hospital Besar Klang.. nak maklumkan pada Encik Kassim, Sahrul anak Pandak Hassan yang menghidap denggi tu baru saja meninggal dunia sebentar tadi," jelasnya lagi. 

"innalilla hiwainna ilaihi rajiun..." hanya perkataan itu yang mampu saya ucapkan. "Jadi saya nak beritahu supaya esok terpaksalah Encik Kassim ambik cuti kat tempat kerja sebab nak minta tolong bawa jenazah arwah pulang ke kampung," tambah pemanggil itu. "Oh, tiada masalah. Insya-Allah, kalau tak ada aral melintan bolehlah saya datang ambil nanti. Tapi apa-apa pun esok pagi saya akan bincang dengan keluarga arwah dulu," jawab saya penuh yakin. 

"Baiklah, tapi Encik Kassim jangan lupa pulak sebab mengikut nota di sini hanya Encik Kassim aja yang dipertanggungjawabkan membawa jenazah ni pulang.." kata lelaki itu lagi. 

Saya terkejut. "Laa... pulak! Takkanlah saya seorang aja? Macam saya cakap tadi, kalau tak ada apa-apa hal esok bolehlah saya pergi, tapi kalau saya ada hal yang tak boleh dielakkan macam mana pula?" balas saya sedikit tegas. Lelaki itu diam. Tiada suara kedengaran darinya. 

Saya masih belum puas hati. "Boleh saya tau, ini siapa yang bercakap ni?" tanya saya inginkan kepastian setelah saya tidak mendengar sebarang maklum balas dari talian. Tutt....tutt.... tutttt... Talian terputus. 

Saya membelek telefon di tangan dengan penuh kehairanan. "Apa daa... orang tak habis cakap lagi dia dah letak pulak. Dia orang ni ambik muda aja perkara yang melibatkan kematian macam ni," ngomel saya sendiri sambil melangkah masuk ke bilik tidur untuk memaklumkan pada isteri. Pagi esoknya, saya dan isteri terus ke rumah keluarga arwah untuk menziarah sambil bertanyakan tentang urusan membawa balik jenazah dari Hospital Besar Klang ke kampung. 

Namun setibanya di situ, saya berasa cukup pelik kerana tidak ada seorang pun penduduk kampung yang datang. Saya dan isteri berpandangan sesama sendiri. Mustahil seorang pun tak tahu, lagipun Pandak Hassan bukanlah orang asing di kampung kami. Tugasnya sebagai bilal sudah cukup membuatkan dia begitu disenangi dan dihormati. Lagipun biasanya kala ada kematian, pasti ramai penduduk kampung yang datang berziarah. Waktu ini biasanya kaum lelaki sudah mula sibuk membuat keranda, menggali kubur dan menyediakan kelengkapan untuk urusan pengebumian. Tapi berbeza pula pada hari ini. Rumah Pandak Hassan sunyi sepi. 

"Assalamualaikum.. Assalamualaikum!" saya memberi salam sambil meninjau kawasan di sekeliling. "Waalaikumsalam.." sahut suara dari dalam. Tidak lama kemudian Pandak Hassan muncul di muka pintu, diikuti oleh isterinya. "Kenaya sunyi aja rumah Pandak ni? Tak ada sesiapa yang datang lagi ke?" tanya saya. "Eh, sunyi kenapanya pulak? Siapa pulak yang nak datang?" balas Pandak Hassan sambil memandang saya dengan penuh kehairanan. Sah! Memang ada sesuatu yang tak kena. Saya mula bingung dan tak tahu bagaimana hendak memulakan kata-kata. 

Setelah beberapa kali menggaru kepala barulah saya ceritakan satu persatu tentang berita yang saya terima dari Hospital Besar Klang malam tadi. Terlopong mulut Pandak Hssan dan isterinya mendengar cerita saya. Pada mulanya agak sukar untuk mereka terima berita itu namun setelah saya tunjukkan bukti nombor telefon yang diterima malam itu dari telefon bimbit saya barulah mereka percaya. Tapi Pandak Hassan keliru sebab dia baru saja menelefon Sahrul di hospital sebntar tadi dan anaknya itu memberitahu keadaannya stabil. Biarpun terlantar, tidak mampu bangun dan perlu diberikan rawatan rapi, tetapi Sahrul masih sedar. 

Pandak Hassan juga bercadang untuk pergi ke Klang bersama isterinya pada hujung minggu ini untuk melawat Sahrul. "Siapa pula yang pandai-pandai kata anak aku dah meninggal?" soal Pandak Hassan lagi. Saya tergamam, tidak mampu berkata apa-apa. Saya juga bingung memikirkan siapakah gerangan yang menelefon saya malam tadi sedangkan mengikut kata Pandak Hassan anaknya Sahrul masih lagi dirawat di hospital berkenaan. "Bab kematian ni pun dia orang nak buat main-main," keluh Pandak Hassan dengan nada terkilan. 

"Saya pun geram jugak. Sudahlah hari ni tak pasal-pasal saya kena mohon cuti, rupa-rupanya panggilan palsu pulak. Kalay saya dapat tau siapa budak yang main-mainkan tu, tau lah saya nak ajar macam mana!" luah saya dengan perasaan marah bercampur geram. Saya meninggalkan rumah Pandak Hassan dengan seribu persoalan yang bersarang di fikiran. Puas saya memikirkan kejadian yang berlaku malam tadi. 

Siapalah yang menelefon dan bagaimana orang itu tahu nama serta nombor telefon saya sedangkan tidak pernah sekalipun saya memberinya kepada pihak hospital mahupun Sahrul sendiri. Petang itu, ketika sedang berehat di beranda, datang seorang pemuda memaklumkan suatu beria yang amat mengejutkan. Sahrul meninggal dunia! Saya tergamam, seakan tak pecaya. Berkali-kali saya tanyakan tentang kesahihan berita tersebut kerana saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. 

Setelah yakin kebenarannya barulah saya dan isteri pergi ke rumah Pandak Hassan. Ketika sampai saya lihat sudah ramai penduduk kampung yang datang berziarah. Ertinya memang betullah Sahrul meninggal dunia. Tanpa banyak soal saya terus berjumpa dengan Pandak Hassan untuk bertanyakan tentang urusan membawa jenazah anaknya itu pulang. Walaupun Pandak Hassan kelihatan tabah dengan berita kematian anaknya, namun kesedihan tetap terpancar daripada raut wajahnya. Dia kemudian menyerahkan tugas membawa jenazah pulang kepada saya. 

"Patutlah ada yang pesan supaya kau cuti bekerja hari ini, rupa-rupanya memang ada tugas yang perlu kau buat," kata Pandak Hassan dengan wajah sugul. Saya sekadar mengangguk-anggukkan kepala. Tanpa sebarang komen saya meminta Ishak, salah seorang saudara arwah untuk menemani saya ke Hospital Klang menuntut jenazah Sahrul. Alhamdulillah, ketika saya sampai segala urusan berkaitan arwah telah diuruskan oleh pihak majikannya. Jadi mudahlah kerja saya untuk membawa jenazah arwah pulang. 

Sementara menunggu jenazah dibawa masuk ke dalam van, saya sempat bertanyakan kepada petugas-petugas di hospital tentang panggilan yang saya terima malam tadi. Semuanya tidak tahu, malah mereka juga berasa hairan tentang perkara tersebut. Untuk memperkukuhkan bukti, saya tunjukkan nombor panggilan yang masuk ke telefon bimbit saya. Memang sah nombor milik hospital berkenaan. Ertinya, si pemanggil berkenaan menggunakan telefon hospital. 

"Tak mungkin kami telefon sebab arwah belum meninggal lagi waktu tu. Kami tak boleh buat benda-benda macam ni, salah dari segi peraturan kerja. Lagipun encik terima panggilan jam 12.00 malam, arwah meninggal dunia jam 3 petang esoknya. Memang tak masuk akal langsung!" kata salah seorang petugas dengan bersungguh-sungguh. Kami berpandangan. Otak ligat mencari jawapannya. Nak kata ada petugas yang menelefon memang tak mungkin kerana semua menafikan. Lagipun ada benarnya kata-kata mereka, takkanlah ada petugas yang menelefon waris pesakit jika pesakit itu sendiri belum disahkan meninggal dunia. Itu dah melanggar etika kerja. Hal berkaitan kematian adalah perkara serius dan bukanya boleh dibuat main. Hanya orang yang tidak waras saja akan buat kerja gila macam tu. 

Jadi, siapakah lelaki yang menelefon saya malam tadi? Adakah arwah Sahrul? Tak mungkin Sahrul mampu berjalan sedangkan dia sudah seminggu terlantar di katil. Lagipun kalau ikut logik akal usahkan nak berjalan, malah nak buang air pun terpaksa guna saluran pail ke kantung plastik. Tetapi jika Sahrul sekalipun, persoalannya dari mana dia dapat nombor telefon saya? Seperkara lagi, bagaimana pula Sahrul tahu yang esoknya dia akan pergi menghadap Ilahi dan kenapa pula dia bersungguh-sungguh meminta saya untuk mengambil jenazahnya. Bukan saya seorang saja yang mampu membawa van jenazah di kampung kawasan kediaman kami ini. 

Saya betul-betul binggung. Bukan saya seorang saja yang kena bawa van jenazah di kawasan kediaman kami. Sehingga ke hari ini, saya masih memikirkan tentang perkara tersebut. Sepanjang pengalaman saya membawa jenazah, inilah peristiwa yang tidak mungkin saya lupakan kerana saya masih tidak mendapat jawapan siapakah yang menelefon saya pada malam itu. Adakalanya suara itu masih lagi terniang-ngiang di telinga saya apatah lagi jika jam menghampiri pukul 12 tengah malam. 

Oleh : Abu Kassim Samsori

Disingkap Oleh :


Apa Komen Anda?

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...