Thursday 18 December 2014

ARWAH BALIK RUMAH SELEPAS KEMALANGAN


Saya ingin berkongsi pengalaman yang tak mungkin saya lupakan seumur hidup saya. Mungkin cerita yang ingin saya sampaikan ini dianggap sebuah dongeng pada halwa pendengaran para pendengar, tapi ia adalah satu kenyataan yang kami sekeluarga tempuhi. Kisah ini baru juga berlaku, iaitu kira-kira lima tahun yang lalu. Waktu itu jam menunjukkan 10.25 malam dan saya sedang menonton televisyen di ruang tamu. Tiba-tiba ada seseorang mengetuk pintu rumah saya, dan bila saya buka, saya dapati kakak saya berlumuran dengan darah. Saya amat terkejut dan panik dengan keadaannya masa itu. 

Saya tanya dia kenapa tapi dia hanya mendiamkan diri dan menangis lalu terus berlari ke bilik air. Saya bergegas ke bilik untuk beritahu mak dan ayah. Mak dan ayah juga cuba memanggil nama kakak dan ketuk berkali-kali di pintu tandas tapi kakak hanya mendiamkan diri. Kami sekeluarga panik dengan keadaan kakak. Tak lama selepas itu, ada seseorang mengetuk pintu. Ayah ke pintu untuk menjengah siapa yang datang. 

Dua orang lelaki menggelarkan mereka adalah kawan kepada kakak saya. "Cik, saya Amir, kawan Lin..." Beliau bercakap sambil menangis terisak-isak, "Cik... Lin meninggal dunia... Dia kemalangan..." Sejurus mendengar kata-katanya, ayah saya memarahi beliau dan mengatakan kakak ada di bilik air. Dipendekkan cerita, kami ke tandas untuk memastikan kesahihan berita yang kami dengar. Pintu tandas diketuk berkali-kali tapi kakak tetap mendiamkan diri. Ayah memutuskan untuk memecahkan pintu tandas. 

Alangkah terperanjatnya kami, tiada sesiapa di dalam dan ayah menyoal saya tentang kakak. Saya menangis dan bersumpah yang saya jumpa itu benar-benar kakak dan saya mengatakan kalau saya tipu, kenapa pintu bilik air terkunci di dalam. Ayah dan mak hanya tergamam antara percaya dan tak percaya dengan cerita saya... Kami pun ke tempat kejadian untuk memastikan berita yang disampaikan kawan kakak dan cerita itu memang benar. Kakak telah meninggal dunia di tempat kejadian kerana motor yang ditunggangnya terbabas di jalan. 

Motornya remuk dan penuh dengan darah tapi masa kami sampai, kakak telah dibawa pergi ke hospital untuk bedah siasat. Sudah lima tahun perkara ini berlaku, tetapi sehingga sekarang saya masih tertanya-tanya, siapakah yang pulang ke rumah??? Sehingga hari ini saya masih tidak percaya dengan apa yang saya alami. Saya menjadi trauma setiap kali pintu diketuk kerana rasakan seolah-olah kakak pulang. Sudah puas saya berubat tapi tiada satu pun yang dapat membantu saya. 

Di kesempatan ini, saya harap pendengar yang budiman, dapatlah menyedekahkan surah Al-Fateha pada arwah kakak saya Noor Lynne Qistyna Binte Ahmit yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga dia tenang di sana.  

Disingkap Oleh :
Apa Komen Anda?

No comments :

Recent Posts Widget